skip to Main Content
Kulai Iskandar Data Exchange Dijangka Tarik Pelaburan RM17.5 Bilion

Kulai Iskandar Data Exchange dijangka tarik pelaburan RM17.5 bilion

JOHOR BAHRU: Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX) di Sedenak dekat sini yang bakal beroperasi pada 2023 dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM17.5 bilion.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata pelaburan tempatan dan asing menerusi syarikat khususnya berkaitan pengurusan data dan perkomputeran akan menawarkan 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat termasuk pekerja separuh mahir dan sokongan.

KIDEX yang dibangunkan di tapak seluas 301.491 hektar dimajukan oleh TPM Technopark Sdn Bhd (TPM Technopark), sebuah syarikat milik Johor Corporation (JCORP).


Projek ini disasarkan mampu menjadi pemangkin pertumbuhan industri data dan mengangkat Sedenak sebagai hab pusat data serantau pada masa depan.

“Dalam taklimat semasa lawatan saya ke KIDEX baru-baru ini, sasaran pelabur adalah dalam kalangan pengusaha industri berkaitan pusat data, perkomputeran awan.

“KIDEX adalah komponen dalam pembangunan Kulai Industrial Park (KIP) yang membabitkan kawasan seluas 2,950.158 hektar. Ia menjadi hab data terkini di Malaysia dan dijangka menarik pelabur Revolusi Industri 4.0.

“Pembangunan mapan dan lestari ini akan mempunyai tenaga mesra alam melalui Ladang Solar (Solar Farm) dan Loji Penghasilan Bersama (Co-generation Plant) sebagai sumber tenaga yang lestari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KIDEX yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2023 menarik minat pelabur dari dalam dan luar negara, terutama China, United Kingdom dan Jepun yang sudah pun membuat tinjauan tapak.

“KIDEX turut mempunyai kelebihan daripada segi sokongan logistik dan perhubungan yang cekap seperti Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai selain kedudukan strategik Johor sebagai jiran, Singapura.

“Dalam lawatan itu, saya turut diberi taklimat oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) yang memaklumkan bahawa KIDEX adalah salah satu inisiatif bagi merealisasikan agenda pembangunan fizikal Bandaraya Pintar Iskandar Malaysia (BPIM).

“BPIM membabitkan enam dimensi, iaitu Tadbir Urus Pintar, Rakyat Pintar, Mobiliti Pintar, Alam Sekitar Pintar, Ekonomi Pintar dan Kehidupan Pintar,” katanya.

Infrastruktur perhubungan data yang kuat dan stabil sudah pasti akan memberi faedah kepada semua pemegang taruh di koridor ekonomi Iskandar Malaysia – kerajaan, sektor perniagaan dan rakyat.

“Menurut IRDA, usaha ini bukan sahaja dapat membantu mencapai wawasan Iskandar Malaysia sebagai Sebuah Metropolis Bertaraf Antarabangsa Yang Kukuh dan Mapan, malah merancakkan lagi agenda Digital Johor di peringkat negeri dan Rancangan Pembangunan Sistem Gentian dan Perhubungan di peringkat nasional,” katanya.


Berita Asal

Back To Top
×Close search
Search
JCORP - JOHOR CORPORATION

Copyright © Johor Corporation. All Rights Reserved.